Hasil Carian Hadis Terjemahan Melayu
HASIL CARIAN BAGI PERKATAAN/FRASA solat jemaah BERJAYA MENCAPAI 320 HADIS DARI KOLEKSI SAHIH BUKHARI SAHIH MUSLIM SUNAN AT-TERMIZI

271  
Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0130.
Abdullah bin Abbas r.a. menceritakan, bahawa pada suatu malam dia bermalam di rumah Maimunah, isteri Nabi saw. (adik ibu Abdullah), katanya: "Saya tidur melintang bantal sedang Rasulullah dan isteri beliau membujur. Rasulullah tidur hingga pertengahan malam, atau sedikit lebih kurang. Kemudian beliau bangun, duduk sambil menggosok matanya dengan tangan untuk menghilangkan mengantuk. Sesudah itu beliau membaca sepuluh ayat pengujung surah Ali Imran. Kemudian beliau berdiri, dan melangkah ke sebuah tempat air yang tergantung. Beliau berwuduk dan menyempurnakan wuduknya. Kemudian beliau berdiri untuk melakukan solat." Kata Ibnu Abbas selanjutnya, "Aku berdiri pula, dan berwuduk seperti yang dilakukan beliau. Sesudah itu aku berdiri di samping beliau. Beliau meletakkan tangan kanannya di kepala ku, menarik telinga ku yang kanan dan memilinnya (menyuruh pindah dari kiri ke kanan beliau). Lalu Nabi solat dua rakaat, sesudah itu dua rakaat, sesudah itu dua rakaat, sesudah itu dua rakaat, sesudah itu dua rakaat, dan sesudah itu dua rakaat (6 x 2 rakaat), kemudian beliau solat witir (ganjil bilangan rakaatnya). Kemudian beliau berbaring kembali, hingga datang Muazzin (Bilal, memberitahukan subuh telah datang); lalu beliau berdiri dan solat sunat yang ringkas dua rakaat. Sesudah itu beliau pergi ke masjid untuk solat Subuh. "

272  
Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0029.
Dari 'Itban bin Malik r.a, katanya: "Aku ditimpa musibah, iaitu mata ku buta. Kerana itu aku mengutus seseorang mengundang Rasulullah saw., semoga beliau sudi solat di rumah ku: di mana kemudian tempat solat beliau itu ku jadikan tempat solat ku. Kata 'Itban melanjutkan, "Nabi saw. datang beserta beberapa orang sahabat. Beliau masuk ke rumah ku lalu solat; sedangkan para sahabat bercakap-cakap sesama mereka, yang akhirnya sampai kepada perihal Malik bin Dukhsyum. Kata mereka, "Alangkah besar dosanya Malik bin Dukhsyum." Mereka ingin kiranya Rasulullah saw. mendoakannya supaya dia celaka ditimpa suatu malapetaka." Setelah Rasulullah saw. selesai solat, beliau bertanya, "Bukankah dia telah mengucapkan syahadat, bahawa tidak ada Tuhan selain Allah, dan bahawa aku Rasulullah?" Jawab mereka, "Dia mengucapkannya tidak dari hatinya." Sabda Rasulullah saw., "Tidak seorang jua pun yang mengucapkan syahadat, bahawa tidak ada Tuhan selain Allah, dan bahawa aku Rasulullah, yang masuk neraka atau dimakan api neraka." Kata Anas, "Hadis ini sangat mengagumkan ku. Kerana itu ku suruh anak ku menuliskannya, lalu dituliskannya."

273  
Hadis Sunan At-Termizi Jilid 5. Hadis Nombor 3754.
Abu Musa Ishaq bin Musa Al-Anshari menceritakan kepada kami, Ma'an bin Isa memberitahukan kepada kami, Malik bin Anas memberitahukan kepada kami dari Hisyam bin Urwah dari ayahnya dari Aisyah bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Perintahkan Abu Bakar agar solat dengan manusia", lalu Aisyah berkata: "Wahai Rasulullah sesungguhnya Abu Bakar jika menduduki tempatMu, dia tidak bisa membaca sehingga tidak didengar oleh manusia kerana tangisannya, perintahlah Umar agar solat dengan manusia", Aisyah berkata: Lalu Beliau bersabda: "Perintahkan Abu Bakar agar solat dengan manusia", Aisyah berkata: lalu aku berkata kepada Hafshah katakanlah kepada Beliau sesungguhnya Abu Bakar jika menduduki tempatMu, dia tidak bisa membaca dengan suara keras sehingga tidak bisa didengar suaranya oleh manusia perintahlah Umar agar solat dengan manusia", kemudian Hafshah melaksanakan, lalu Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya kamu sekalian adalah seperti teman-teman wanita Yusuf, perintahlah Abu Bakar agar solat dengan manusia"; Hafshah berkata kepada Aisyah: Tidaklah aku memperoleh kebaikan sedikitpun darimu." Hadis ini hasan sahih. Dalam bab ini terdapat hadis dari Abdillah bin Mas'ud dan Abu Musa dan Ibnu Abbas dan Salim bin Ubaid.

274  
Hadis Sunan At-Termizi Jilid 1. Hadis Nombor 0390.
Ahmad bin Mani' menceritakan kepada kami, Husyaim memberitahukan kepada kami dari Hisyam bi Hissan dari Muhammad bin Sirin dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah saw bersujud dua kali sujud sahwi setelah salam. Abu Isa berkata: "Hadis ini adalah hasan sahih". Dan hadis ini benar-benar diriwayatkan oleh Ayyub dan tidak hanya seorang dari Ibnu Sirin. Hadis Ibnu Mas'ud adalah hasan sahih dan hadis ini diamalkan menurut sebahagian ahli ilmu berkata: "Apabila seseorang melakukan solat Zohor lima rakaat maka solatnya sah dan bersujud dua kali sujud sahwi biarpun tidak duduk (untuk tasyahhud yang terakhir) pada rakaat keempat". Dan ini adalah pendapat Asy Syafii, Ahmad dan Ishaq. Sebahagian mereka berkata: "Apabila seseorang melakukan solat Zohor lima rakaat dan tidak duduk pada rakaat keempat; selama kurang lebih membaca tasyahhud maka rosak solatnya." Dan ini adalah pendapat Sufyan Ats Tsauri dan sebahagian penduduk Kufah.

275  
Hadis Sahih Bukhari Jilid 2. Hadis Nombor 0603.
Diceritakan dari 'Aisyah r.a., bahawa dia ditanya orang mengenai solat Rasulullah saw. di waktu malam. Jawab 'Aisyah, "Beliau tidur pada awal malam dan bangun pada akhirnya, lalu beliau solat. Kemudian beliau kembali pula ke tempat tidurnya. Maka apabila muadzin telah azan (untuk solat Subuh), beliau bangun. Kalau memang perlu, beliau mandi lebih dahulu, jika tidak, beliau mengambil wuduk saja, kemudian beliau pergi solat ke masjid."

276  
Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0281.
Dari Ibnu Umar r.a., katanya: "Seorang laki-laki bertanya kepada Nabi saw. ketika beliau sedang di atas mimbar, "Bagaimana caranya solat malam?" Nabi menjawab, "solat malam dua-dua rakaat, dan bila khuatir subuh datang, maka solatlah satu rakaat, bererti anda telah witir untuk setiap rakaat yang telah anda perbuat. Ibnu Umar mengatakan, "Buatlah solatmu yang akhir di waktu malam ganjil (witir) rakaatnya, kerana Nabi saw. menyuruh begitu."

277  
Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0316.
Berita dari Abu Hurairah r.a. mengatakan, bahawa Rasulullah saw. bersabda: "Para malaikat bergiliran datang kepada mu malam dan siang. Dan semuanya bertemu ketika solat Subuh dan solat Asar. Kemudian malaikat yang jaga malam naik ke langit. Maka bertanyalah Tuhan kepada mereka (padahal Allah swt. sesungguhnya lebih tahu), "Bagaimanakah halnya hambaKu yang kamu tinggalkan?" Jawab mereka, "Kami tinggalkan mereka sedang solat Subuh, dan kami dapati mereka sedang solat Asar."

278  
Hadis Sunan At-Termizi Jilid 1. Hadis Nombor 0164.
Qutaibah menceritakan kepada kami, Hatim bin Ismail menceritakan kepada kami dari Yazid bin Abi Ubaid dari Salamah bin Al Akwa' berkata: "Rasulullah saw selalu solat Maghrib apabila matahari terbenam dan matahari tertutup dengan tirai." Ia berkata: "Dia dalam bab ini terdapat hadis dari Jabir, Ash Shunabihi, Zaid bin Khalid, Anas, Rafi' bin Khadij, Abu Ayyub, Ummu Habibah, Abbas bin Abdil Muththalib dan Ibnu Abbas". Hadis Abbas telah diriwayatkan dengan mauquf dari padanya, dan itu lebih sahih. Sedang Ash Shanabihi tidak mendengar dari Nabi saw, dia adalah teman Abu Bakr ra. Abu Isa berkata: "Hadis Salamah bin Al Akwa' adalah hadis hasan sahih. Dan itu adalah pendapat sebahagian besar ahli ilmu dari para sahabat Nabi saw dan orang-orang yang sesudah mereka dari para tabi'in. Mereka memilih mensegerakan solat Maghrib dan mereka membenci mengakhirkannya, sehingga sebahagian ahli ilmu berkata: "Tidak ada solat Maghrib kecuali satu waktu. Dan mereka berpendapat kepada hadis Nabi saw di mana Jibril solat dengannya (waktu tsb). Itu adalah pendapat Ibnul Mubarak dan Asy Syafi'i.

279  
Hadis Sunan At-Termizi Jilid 1. Hadis Nombor 0160.
Ali bin Hujr menceritakan kepada kami, Isma'il bin Ja'far menceritakan kepada kami Al 'Ala' bin Abdir Rahman bahawasanya ia masuk pada Malik bin Anas di dalam rumahnya di Bashrah ketika pulang dari solat Zuhur sedangkan rumahnya di samping masjid lalu ia berkata: "Berdirilah maka solatlah Asar". Ia berkata: "Maka berdiri dan kami solat. Ketika kami pergi ia berkata: "Saya mendengar Rasulullah saw bersabda: "Itu adalah solat orang munafik, ia duduk mengawasi matahari sehingga apabila matahari itu di antara dua tanduk syaitan maka ia berdiri lalu ia mencocok empat kali, padanya ia tidak ingat kepada Allah kecuali sedikit". Abu Isa berkata: "Ini adalah hadis hasan sahih."

280  
Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0332.
Abu Said Al Khudri r.a. mengatakan bahawa ia mendengar Rasulullah saw. bersabda: "Tidak boleh solat sesudah solat Subuh sehingga matahari telah meninggi, dan tidak boleh solat sesudah solat Asar sehingga matahari telah sempurna terbenam."